Sinar Harian 7 Julai 2010 . TAMPIN –
Linangan air mata seorang lelaki
warganegara Indonesia dan 'kisah sedihnya' yang tidak mempunyai wang untuk
pulang ke negara asal untuk menjenguk ibunya yang sakit tenat berjaya
mengaburi mata hati seorang Ketua Pergerakan Wanita UMNO Cawangan bahagian
ini untuk membeli tiket nombor ekor, milik lelaki berkenaan yang didakwa
memenangi wang pertaruhan bernilai RM96,000.
Suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Din berkata kepada
pemberita, kejadian itu berlaku jam 2 petang semalam.
"Ketika itu, isteri berjalan kaki di kaki lima deretan kedai di tengah
bandar untuk ke Pejabat UMNO dan kemudiannya dia didatangi lelaki warga
Indonesia berusia lingkungan 40-an.
"Lelaki terbabit kelihatan amat sedih dan menunjukkan sekeping tiket
pertaruhan nombor ekor dibeli kepada isteri dengan pertaruhan RM32 dan
berjaya memenangi hadiah wang tunai RM96,000 seperti dipaparkan dalam
keratan akhbar yang ditunjukkannya, " katanya kepada pemberita, semalam.
Menurutnya, lelaki Indonesia itu memaklumkan kepada isteri saya bahawa dia
tidak boleh menuntut hadiah berkenaan kerana bukan warganegara Malaysia.
"Malah dia tidak segan silu merayu meminta bantuan sebanyak RM10,000
daripada isteri saya dan menyerahkan tiket dimenangi itu untuk menuntut
hadiah.
“Dia tidak putus-putus merayu isteri saya supaya memberikan sebanyak mana
yang mampu. Katanya, wang selebihnya (menang pertaruhan) disedekahkan
kepada isteri saya dan akan menghubunginya sebaik kembali semula ke negara
ini," katanya.
Abang Din berkata, termakan dengan pujuk rayu lelaki terbabit, isterinya
sanggup memberikan barangan kemas dan buku simpanan bank dalam keadaan
seperti terpukau, sekali gus menyebabkan kerugian hampir RM10,000.
Bagaimanapun menurutnya, isterinya tidak membuat laporan polis kerana amat
malu dengan kejadian itu, selain merasakan tidak sewajarnya sebagai ahli
yang bergiat aktif dalam politik tertipu dengan sindiket perjudian.
“Apa yang lebih meyakinkan isteri saya adalah ketika kejadian, muncul tiga
lelaki bertanyakan apa yang berlaku. Sebaik sahaja mendengar cerita, salah
seorang daripada tiga lelaki ini bersetuju memberi bantuan sebanyak
RM3,000.
“Malah lelaki terbabit akan mengikut isteri saya untuk menunggu di luar
premis perjudian untuk mengambil wangnya semula daripada isteri saya,"
katanya.
Setibanya di kaunter premis pertaruhan berkenaan, Abang Din berkata,
isterinya hampir pengsan apabila dimaklumkan tiket diberikan itu adalah
palsu dan telah diubahsuai.
"Semua lelaki yang menawarkan bantuan kepadanya lesap begitu sahaja,"
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Suprintendan Wooi Kooi Cheang
menasihatkan orang ramai terutama umat Islam di daerah ini supaya tidak
tertipu dengan pujuk rayu sindiket yang meminta pertolongan menukarkan
tiket pertaruhan, didakwa telah memenangi hadiah puluhan ribu ringgit.
"Berdasarkan rekod dua tahun lalu, sepasang suami isteri juga telah menjadi
mangsa penipuan sindiket seumpama ini.
"Mereka sanggup mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji melebihi RM30,000
untuk ditukar dengan tiket yang kononnya memenangi hadiah pertama sebanyak
RM130,000," katanya.
Justeru, menurutnya, orang ramai diminta berhati-hati berikutan sindiket
berkenaan bergerak terlalu licik dengan menyasarkan warga emas atau
perempuan yang sarat memakai barang kemas sebagai mangsa.
No comments:
Post a Comment