Seperti semalam dan sebelumnya, Chekwe duduk di kerusi empuk kesayangannya di beranda rumah sambil mengulung rokok daun. Tembakau jawa cap kuda belang sudah digumpal gumpal dan disumbatnya ke dalam rokok daunnya. Chekwe cukup ralik mengilir rokok daun yang panjang sejengkal itu. Kadang kadang Chekwe menyiapkan seberapa banyak yang boleh sebagai simpanan buat bekal berjalan.
Chekwe cukup selesa duduk di kerusi empuknya sambil mengadap angin segar Laut China Selatan. Mungkin perubahan angin yang berbeza dengan kampong asal Chekwe yang agak ke hulu membuatkan Chekwe rasa cukup selesa. Mungkin ayah sudah membuat keputusan yang cukup baik membawa balik Chekwe dari Jabi ke sini. Chekwe juga selesa dengan berbaju pagoda dan berkain pelikat. Chekwe selesa dengan berkopiah dan berkain batik lepas di bahunya. Ayah pun tahu Chekwe suka pakai baju pagoda dan ayah sudah beli beberapa helai baju pagoda baru untuk Chekwe. Chekwe tersenyum saja.
Aku juga entah kenapa cukup manja dengan Chekwe. Setiap hari bila ada waktu terluang, aku pasti akan duduk di sebelah Chekwe dan berbual bual dengan Chekwe. Entah mengapa aku cukup selesa bersama dengan Chekwe padahal aku mempunyai ramai kawan kawan sebaya yang boleh diajak bermain. Tapi aku lebih suka bersama dengan Chekwe. Mungkin aku suka mendengar cerita Chekwe. Mungkin banyak ilmu pengetahuan yang aku perolehi dari cerita Chekwe. Cerita cerita Chekwe banyak berkisar pada kisah sejarah dahulu kala dan ada juga kisah kisah lucu yang penuh dengan teladan. Apabila Chekwe bercerita tentang kisah sejarah keluarga suatu ketika dulu, Chekwe cukup bersemangat. Apabila Chekwe bercerita kisah lucu, Chekwe turut ketawa berdekah dekah. Aku paling suka kisah Tiga Awang, iaitu Awang Telinga Besar, Awang Punggung Tajam dan Awang Tahi Mata Banyak. Aku ketawa sampai terkeluar air mata. Begitu juga dengan Chekwe.
Selalunya Chekwe banyak bercerita tentang perjuangan Tok Aneng suatu ketika dulu, semasa datang ke Jajahan Besut dari Palembang. Tok Aneng, Gemulah Chewan, adalah orang yang mula mula membuka dan membangunkan Jajahan Besut dahulu.
“Gemulah Chewan belayar dari Palembang ke Besut sebab nak cari emas…sebab dulu dalam awal abad ke tujuh belas, Besut memang kaya dengan emas, hasil ikan dan damar….”
“Gemulah Chewan sanggup berdepan dengan orang sakai yang selalu mengganggu orang orang kampong dan berjaya berunding dengan ketua orang sakai yang bernama Pak Wong atau Tok Besut..”
“ Tau macam mana Gemulah Tok Aneng Chewan boleh berunding?” Chekwe memandang aku dan aku hanya mengelengkan kepala. Chekwe tersenyum.
“Haaa… gemulah Chewan bagi kat Pak Wong segantang kail sebagai ganti atas persetujuan Pak Wong tidak mengganggu penduduk tempatan…”
“ Kail je???” aku menggaru kepala.
“Dulu kail tu amat berharga kerana mereka boleh menangkap ikan dengan banyak…banyak ikan bermakna lagi banyak hasil yang dia orang dapat dan lagi banyak duit yang mereka boleh dapat….’
“Gemulah Chewan juga sanggup berdepan dengan lanun lanun yang bermaharajalela di Sungai Keluang dan Laut China Selatan…dekat dengan Pulau Perhentian…”
“Lanun dulu memang jahat..muka dia orang pun memang bengis…ada yang misai tebal dan panjang..mata pun merah…memang takut kalau jumpa dengan lanun lanun ni…”
“Gemulah bertahan dari serangan lanun dengan membuat kubu di Bukit Keluang…..tapi Gemulah Chewan tak berjaya mengalahkan lanun lanun yang terlalu ramai…..”
Aku mendengar dengan penuh kusyuk cerita Chekwe bagaikan mendengar cerita bangsawan di atas pentas.
“Selepas Gemulah Chewan meninggal, anaknya mengambil alih tapak Chewan…Gemulah Chewan Namat..Tok Anang mu…”
“Masa Gemulah Chewan Namat pun sama jugak…lanun semakin berleluasa….Gemulah Chewan Namat terpaksa mintak bantuan dengan Sultan Terengganu…masa tu Sultan Mansur…jadi Sultan pun menghantar anak baginda sendiri, iaitu Tengku Kadir untuk turun ke Besut membantu Gemulah Chewan Namat untuk melawan lanun…”
“Berkat usaha dan kebijaksanaan Tengku Kadir dan Gemulah Chewan Namat, mereka berjaya membuat perjanjian damai dengan lanun lanun…jadi keadaan menjadi semakin selamat bagi semua penduduk tempatan dan jugak pedagang pedagang yang menggunakan Sungai Keluang sebagai laluan kapal dagang mereka..”
“Jadi sebagai tanda penghargaan, Sultan Mansur mengangkat Tengku Kadir menjadi Raja Besut dan Gemulah Chewan Namat pulak diangkat menjadi Orang Besar Besut….”
“Haaaaa…mu dengar tak? Tok Anang mu bukan calang calang orang…dia jadi Orang Besar Besut…orang yang mentadbir dan menjaga seluruh jajahan Besut mu tahuuu….” Chekwe cukup bangga sambil menepuk nepuk bahuku.
“Selepas Tengku Kadir meninggal dunia, tampuk pemerintahan diberikan kepada Tengku Ngah..kemudian diperturunkan pada Tengku Chik…sama jugak dengan pangkat Orang Besar Besut, selepas Gemulah Chewan Namat meninggal…jatuh pada anaknya..Gemulah Chewan Nal..pastu Gemulah Chewan Latif..kemudian pada Gemulah Chewan Che Jak….”
Aku juga turut bangga apabila mendengar kisah yang keturunan keluarga ku bukan calang calang orang tetapi adalah pemerintah bagi jajahan Besut yang terkenal. Seperti bangganya Chekwe, aku juga turut bangga.
Aku juga pernah menduga akal Chekwe untuk menguji pengetahuan Chekwe tentang susurgalur keluarga.
“Chekwe…lepas Tok Moyang ape Chekwe?”
“Tok Moyet!”
“Lepas Tok Moyet?”
“Tok Canggah!”
“Lepas Tok Canggah?”
“Tok Warang!”
“Hahahaaa…mu ni memang tak tau ye…lepas Tok Warang…Tok Wareng…pastu Tok Anang…kemudian Tok Aneng…Tok Kerapak…kemudian sekali Tok Buyut….” Chekwe menerangkan padaku tanpa tahu samada aku mampu ingat atau tidak.
“kalu ke bawah pulak macam mana?” Aku menduga lagi Chekwe tentang susurgalur ke bawah.
“Hahaha…bolehh…cucu..cicit…cuit…gamit….” Chekwe berhenti bagai ingin menduga ku.
“Lepas gamit?”
“Lepas gamit…coteh…pastu moteh…kemudian piang…pastu piut..”
“Lepas piut..leka…akhir sekali beramen…” Chekwe tersenyum bangga kerana berkongsi sesuatu yang sudah dilupakan oleh orang zaman sekarang dengan cucunya. Aku turut bangga kerana selepas ini aku boleh berkongsi pula dengan kawan kawan sekolahku yang aku yakin belum pernah mendengarnya.
“Sekarang Chekwe nak mintak tolong pulak…” Chekwe yang masih tersenyum dengan gelagatku menepuk bahuku. Aku jadi agak terkejut mendengar kata kata Chekwe itu.
“Tolong ape Chekwe? Tolong urut kaki ke Chekwe?”
“Chekwe nak mintak mu tulis surat…Chekwe nak hantar ke DO dan ADO…Chekwe nak cerita pasal Gemulah Chewan…Gemulah Chewan Namat…”
“Chekwe nak sebelum Chekwe mati…biar ada orang kerajaan yang tahu pasal sejarah keluarga kita..biar ada yang tahu pasal pangkat Orang Besar Besut yang diberikan oleh Sultan.…”
“Kalu kerajaan tak nak bagi imbuhan pun..sekurang kurangnya ada orang kerajaan yang tahu pasal mende ni…kurang kurang ada jugak dalam sejarah negeri….mu pun boleh bangga nanti…” Nada Chekwe memang bersungguh sungguh dan bukannya satu gurauan.
Dan aku menulis setiap bait patah perkataan yang diberitahu oleh Chekwe di atas kertas. Cukup hati hati kerana surat itu akan dihantar kepada ADO dan DO. Chekwe pun cukup teliti bahasanya agar tidak terlalu memperlihatkan ada permintaan yang berlebihan yang mungkin akan disalahtafsir oleh pihak kerajaan.
“Ok siap Chekwe..tinggal nama Chekwe dan tandatangan saja...yang paling penting nama Chekwe…”
“Che Long Tukang Bin Che Yusof Kampung Cawat…”
Baru ku tahu nama Chekwe yang sebenarnya. Chekwe senyum tanda bangga dan puas kerana hajatnya bakal terlaksana. Kalau mati pun Chekwe rasa sudah tertunai apa yang perlu Chekwe lakukan. Walau apa pun, aku cukup bangga dengan Chekwe. Biarlah Chekwe hidup lama lagi. Aku belum puas mendengar cerita Chekwe.
No comments:
Post a Comment